Sunday, July 31, 2011

Tarian tradisional di Malaysia

TARIAN KUDA-KEPANG


Tarian Kuda Kepang ini adalah merupakan suatu bentuk tarian yang popular di negeri Johor.Tarian ini pada mulanya di persembahkan sebagai tarian berbentuk pemujaan tetapi dengan perkembangan agama Islam, ianya telah berkisar kepada kisah hikayat 9 orang pemuda Jawa yang telah menyebarkan syiar Islam dengan pengaruh dari Jawa.Dalam usaha mereka untuk menarik perhatian golongan pemujaan tersebut, mereka telah memperlihatkan keupayaan mereka dalam skil menunggang kuda dan menceritakan bagaimana usaha seseorang pejuang dalam menegakkan syiar Islam. Tarian Kuda Kepang di persembahkan oleh 9 orang penari yang duduk pada sebuah kuda berbentu dua dimensi yang di perbuat daripada rotan. Penari tersebut akan memperlihatkan semula bagaimana kisah kebangkitan serta perjuangan awal yang terpaksa di hadapi oleh pejuang Islam dalam peringkat awal sehinggalah mereka berjaya dalam menyebarkan syiar Islam ini. Tarian drama ini di persembahkan dengan di iringi oleh bunyi muzik tradisional dan eksotik yang kaya dengan peralatan muzik seperti gong, tamborin dan angklung.


TARIAN ZAPIN


Tarian Zapin (Jawi:زافين) merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan diketahui berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di tanah nusantara iaitu di tanah semanjung melayu, kepulauan Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Ini telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya adalah:-
Tarian Zapin Arab
Tarian Zapin Johor
Tarian Zapin Lenga
Tarian Zapin Pekan
Tarian Zapin Tenglu
Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang dan marakas.

TARIAN MAK YONG

Mak Yong yang dicipta oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang sekitar 1320M di Kelantan dan terus berkembang sebagai kesenian milik istana.Pada ketika itu seni ini berada dikemuncaknya dengan Almarhum Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar(1875-1935M) sebagai pelindung dan penaung utama Mak Yong di Kelantan.Suatu ketika,Mak Yong menjadi kegilaan di Pattani (selatan Thai),Kelantan dan Terengganu dengan wujudnya banyak kumpulan yang bersaing sesama sendiri.Selain itu,beberapa kumpulan Mak Yong dengan versi disesuaikan dengan ciri-ciri tempatan terdapat di Pulau Bentan dan Deli,Serdang Indonesia.Ia semakin pesat membangun dan menjadi ikutan setiap perusuk nusantara.Kini,Kementerian Perpaduan, Kebudayaan,Kesenian dan Warisan Malaysia berusaha memperkenalkan Mak Yong ke persada dunia sehingga pihak UNESCO telah menyenaraikan kesenian ini sebagai salah satu warisan dunia - Masterpieces of the Oral and Integible Heritage of Humanity.Pada zaman kegemilangan itu,panggung atau pentasnya hanya terdiri daripada sebuah bangsal beratap tanpa dinding agar dapat ditonton dari semua penjuru.Binaannya tetap kukuh dan gah serta ia mudah untuk pemain-pemainnya bergerak.Orkestranya pula disusun dengan pemain rebab disebelah timur berhampiran tiang seribangsal bagi membolehkan pelakon menghadap kearahnya sewaktu tarian pembukaan (menghadap rebab).Dalam persembahan Mak Yong, persembahan dibuat secara gerak tari berkeliling dimana ia akan dimulakan dengan acara"buka panggung' untuk mengelak kejadian tidak diingini dan diikuti dengan bertaduh,kemudian upacara menghadap rebab,sedayung Pak Yong,sedayung Mak Yong,Ziarah Bilik Pengasuh(Sedayung panggil Awang),berkhabar dan seterusnya memainkan sebarang lagu atau tari mengikut cerita yang dipentaskan.Persembahan ditamatkan pula dengan "tutup panggung'.Selain daripada watak Pak Yong dan Mak Yong yang berlakon sebagai menteri atau raja,antara watak kegemaran penonton adalah 'peran',seorang pelawak yang mengundang ketawa penonton. Terdapat tidak kurang daripada 30 cerita cerita Mak Yong yang penuh dengan pengajaran namun,hanya 12 cerita yang sering dimainkan.Antaranya ialah Dewa Muda,Bongsu Sakti,Anak RAja Panah Dewa dan Gading Bertimang.Terdapat tidak kurang pula 50 buah lagu Mak Yong malangnya mereka yang mengetahui dan boleh menyanyikannya amat berkurangan.

Budaya dan Warisan : Muzik Tradisional

BUDAYA DAN WARISAN : MUZIK TRADISIONAL

Kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada jenis-jenis muzik dan tarian yang terdapat di sini. Tarian kaum Melayu, Orang Asli serta beberapa suku kaum penduduk di Sabah dan Sarawak benar-benar eksotik dan menawan. Setelah sekian lama kaum Cina, India dan Portugis menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia.

Tarian

Tarian Mak Yong
Mak Yong Melayu
Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.

Tarian Kuda Kepang
Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.

Tarian Zapin
Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Joget
Joget
Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.

Tarian Lilin
Tarian Lilin
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Silat
Silat
Salah satu tradisi Melayu paling tua yang juga merupakan sejenis seni mempertahankan diri, Silat juga adalah suatu seni yang boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian. Dengan pergerakan badan yang penuh aksi serta bunga langkah, persembahan silat sememangnya menarik dan mengasyikkan.

Tarian Singa
Tarian Singa
Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.

Tarian Naga
Tarian Naga
Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat.

Tarian Bharata Natyam
India Bharata Natyam
Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun. 
Tarian Bhangra
Bhangra
Banghra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan.


Sabah & Sarawak
Tarian Ngajat

Ngajat
Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada masa dahulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang. Pahlawan lelaki mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir. 

Tarian Datun Julud
Datun Julud
Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong bagi menggambarkan kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu perayaan kemasyarakatan bagi menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang yang melambangkan sayap burung suci tersebut. 

Tarian Sumazau
Sumazau
Sumazau adalah sebuah tarian kaum Kadazan yang lazimnya dipersembahkan sewaktu acara-acara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang banyak, untuk menghindar roh jahat, dan untuk mengubati penyakit. Penari lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian yang mengasyikkan ini dengan gerak-geri yang perlalan serta pergerakan yang menngambarkan burung yang sedang terbang.

Tarian Buluh
Tarian Buluh
Tarian Buluh, satu lagi tarian tradisional yang popular serta menghiburkan, menggunakan sepasang buluh panjang yang dipegang mendatar pada paras buku lali. Kedua-dua buluh tersebut diketuk antara satu sama lain dengan rentak yang pantas. Penari perlu tangkas bergerak sambil melompat di antara kedua-dua batang buluh tersebut tanpa tersepit.

Tarian Orang Asli
Orang Asli
Tarian Orang Asli Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka. Tarian ini lazimnya digunakan oleh pawang dalam upacara menghubungi dunia roh. Tarian tersebut termasuklah tarian Genggulang kaum Mah Meri, tarian Berjerom kaum Jah-Hut, serta Sewang oleh kaum Semai dan Temiar.


Tarian Farapeira
Portugis

Farapeira
Farapeira adalah sebuah tarian pantas yang menghiburkan, seringkali diiringi alat muzik sepert gitar dan tamborin, dan dipersembahkan oleh pasangan penari yang memakai pakaian tradisional Portugis.

Tarian Branyo
Branyo
Tarian Branyo, yang lebih perlahan dan bersopan daripada tarian Farapeira, lebih diminati warga Portugis yang sudah berumur. Penari lelaki yang berpakaian ala koboi dan penari perempuan yang berpakaian baju kebaya tradisional dengan sarong batik, menari dengan perlahan mengikut rentak gendang serta biola.




Gamelan

Nobat
Muzik Orkestra
Malaysia mempunyai dua orkestra tradisional iaitu gamelan dan nobat.
Gamelan, yang berasal dari Indonesia, adalah merupakan orkestra tradisional yang memainkan melodi menggunakan sekumpulan alat muzik termasuk gong serta alat muzik bertali. Nobat pula adalah orkestra diRaja yang memainkan muzik istana yang lebih formal menggunakan pelbagai alat muzik, termasuk serunai dan nafiri.


Alat Muzik
Rebana Ubi
Rebana Ubi
Ketika zaman kerajaan Melayu lama, bunyi paluan rebana ubi yang besar digunakan untuk menyampaikan pelbagai jenis pesanan; dari amaran mengenai serangan musuh, hinggalah pengumuman majlis perkahwinan. Kini, rebana ubi menjadi salah sebuah alat muzik yang digunakan dalam pelbagai persembahan acara kemasyarakatan.

Kompang

Kompang
Kompang boleh dikatakan alat muzik tradisional yang paling popular di Malaysia, dan digunakan di pelbagai majlis seperti Perarakan Hari Kemerdekaan, pelbagai majlis rasmi, serta majlis perkahwinan. Kompang yang berbentuk seperti sebiji tamborin tanpa kepingan besi disekelilingnya, selalunya dimainkan secara berkumpulan. Pelbagai corak paluan dihasilkan dengan melapiskan pelbagai rentak paluan yang berbeza menjadi satu gabungan ritma yang menarik.

Gambus
Gambus
Gambus dibawa ke Malaysia oleh para pedagang dari Farsi serta Timur Tengah. Gambus dimainkan dengan pelbagai gaya dalam muzik tradisional Melayu, terutama sekali sebagai alat muzik utama dalam muzik Ghazal. Alat muzik ini, yang direka halus menggunakan campuran berbagai jenis kayu, menghasilkan bunyi seakan-akan alat muzik kecapi (harp).

Sape
Sape
Sape adalah sejenis gitar tradisional masyarakat Orang Ulu atau penduduk hulu sungai di Sarawak. Alat muzik ini, yang dihias indah dengan pelbagai corak ukiran yang berwarna warni, diperbuat daripada sebatang kayu yang ditebuk. Alat muzik ini, yang dahulunya dimainkan seorang diri sebagai hiburan, kini telah menjadi sebuah alat muzik sosial. Lazimnya, sape dimainkan mengikut tema yang berbeza bagi mengiringi tarian seperti Ngajat dan Datun Julud.


Muzik Tradisional Malaysia

Muzik Tradisional Malaysia

Umumnya, muzik tradisional terbahagi kepada 3 kategori utama iaitu.. MUZIK KLASIK, MUZIK RAKYAT DAN MUZIK SINKRETIK.

MUZIK KLASIK
-Muzik untuk golongan bangsawan.
-Sebagai hiburan majlis-majlis istana & upacara tertentu seperti pertabalan, perkahwinan, & lawatan rasmi.
-Pemuzik dilatih khusus sebagai pemuzik profesional dan bertugas sepenuhnya di istana sebagai pemuzik Istana.
-Pemuzik dipilih berdasarkan keturunan dan mempunyai ciri-ciri khas.
-Walau bagaimanapun, sekarang muzik klasik tidak kekal kecuali ensembel MUZIK NOBAT di istana Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu.
-Lain-lain ensembel berasal dari istana ialah GAMELAN dan TEATER MAKYUNG. Tapi sekarang ianya tidak dipersembahkan di istana lagi dan menjadi persembahan di kalangan rakyat di luar istana.

Alat-alat NOBAT


MUZIK RAKYAT
-Keseniaan rakyat untuk rakyat.
-Genre berkonsep persekitaran & kehidupan rakyat.
-Berfungsi sebagai hiburan majlis keramaian, upacara ritual & pemujaan, upacara pembomohan, menyambut sesuatu perayaan dan sebagainya.
-Ia kaya dengan pelbagai jenis muzik dan peralatan serta berbeza mengikut tempat.
-Antara contoh-contoh muzik rakyat ialah ulik mayang, tumbuk kalang, dondang sayang, boria, kuda kepang, enkeromong, ngajat dan lain-lain.
-Terdapat juga dalam permainan tradisional seperti lagu enjit-enjit semut, cak cekur udang gamit, lompat si katak lompat dan sebagainya.
-Lagu rakyat berbentuk penceritaan, jenaka dan nasihat.

MUZIK SIKRETIK
-Gabungan dan serapan pelbagai genre muzik luar ke dalam muzik tempatan.(mungkin muzik kita ni fleksibel)
-Unsur muzik yang terlibat ialah dari Arab, Parsi, India, China, dan Barat.
-Gabungan ini mewujudkan 1 genre muzik baru iaitu genre muzik popular.
-Muzik sinkretik ini sudah muncul sejak era 50-an dari persembahan-persembahan bangsawan.
-Alat-alat yang kita boleh lihat ketika muzik ini dimainkan seperti double-bass, conga, trumpet, saksofon dan lain-lain yang digabungkan dengan alat tradisional kita seperti rebana dan seruling.

Kesimpulannya, muzik tradisi Malaysia mempunyai banyak jenis dengan kategori yang berbeza-beza. Kita kene dengar dan teliti. Kalau dah faham beza muzik ni mesti korang pun leh beza.. OWH NI MUZIK RAKYAT, OWH INI MUZIK SINKRETIK. So far, cik fatin pun bukan la jelas sangat.tapi dari apa yang difahami dari pembacaan cik fatin sendiri korang kene ingat :
1-MUZIK KLASIK -ISTANA
2-MUZIK RAKYAT - MASYARAKAT UMUM
3-MUZIK SINKRETIK - GABUNGAN DARI UNSUR LUAR

Kalau nak maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku HBMS4203 MUZIK TRADISIONAL, penulisan Pravina Manoharan, Mohd Azam Sulong, dan YM Raja Azuan Nahar Raja Adnan.